Pages

Saturday, April 07, 2012

Rindu 7#


Suasana musolla sunyi, tidak seperti hari-hari biasa. Yang kelihatan hanya dua orang gadis, berteleku, bertafakur sejenak. Husna dan Ayu baru selesai mengerjakan solat dhuha. Maka, masing-masing mengambil masa untuk manadah tangan, berdoa, bermunajat.

“.. Ya Allah, kabulkan.. Amin..” Husna meraup wajah. Terasa tenang menyelimuti diri. Husna yakin dengan firmanNya;


(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". 
Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (28)

Husna menoleh, memandang Ayu yang sedang khusyuk berdoa. Wajahnya yang mulus sedikit terlindung. Namun, tudungnya kelihatan basah. Ada suatu yang tidak kena pada Ayu, detik hati Husna.

Ayu meraup wajahnya yang basah dengan air mata. Matanya agak sembam kerana asyik menangis sebulan dua ini. Ujian yang datang bertimpa-timpa membuatkan dirinya letih. Adakalanya, rasa putus asa hadir. Namun, cepat-cepat diubati dengan zikir. Dia tetap yakin, Allah menguji mengikut kadar kemampuan. Cuma, dia hanya manusia biasa, yang punya kelemahan.

“ Ayu, okey? “
Husna menyentuh lembut bahu sahabatnya yang seorang itu.
“ Okey,” balas Ayu, cuba untuk melemparkan senyuman manis kepada Husna. Dia tidak senang untuk berkongsi masalahnya dengan orang. Baginya, itu hanya membuatkan orang lain susah hati. Pastinya, dia tidak suka menyusahkan orang.
“ Betul okey?” Husna menyoal, penuh lemah lembut.
Ayu terdiam, menunduk. Air mata menitis, membasahi pipi.
“ Enti, Allah dah tak sayang ana,ke?” aju Ayu. Nadanya sedikit sebak, seolah menahan tangisan.
“ Kenapa enti cakap macam tu?” begitu lembut Husna membalas.

“ Macam-macam ujian menimpa ana, Husna. Mak ayah ana bercerai semasa ana Tingkatan 1, masing-masing pergi membawa haluan masing-masing dan meninggalkan ana dengan nenek. Sekali setahun sahaja mereka menjenguk ana, Husna. Itu pun masa raya. Neneklah tempat ana bergantung kasih, mengharap sayang. Tapi, sekarang nenek ana dah tiada. Sekarang, ana nak tinggal dengan siapa? Bila bercuti, ana menumpang di rumah saudara. Segan, Husna. Ana segan menyusahkan orang. Yuran sekolah pun ditanggung Pak Su. Kasihan Pak Su, terpaksa menanggung yuran pengajian ana yang tinggi, sedangkan gajinya sebagai pemandu teksi itu tidaklah seberapa. SPM pun makin hampir. Tapi, banyak lagi silibus yang ana tak boleh catch up. Periksa hari tu, banyak yang fail. Entahlah, ana rasa sia-sia ana ambil SPM. Result cemerlang pun, tak boleh nak ke mana-mana IPT untuk sambung belajar. Pembiayaan sekarang bukannya murah. Adik-adik QC ana pun entah kenapa… Ana rasa, apa yang ana sampaikan dalam QC sedikit pun tak sampai ke hati adik-adik. Entahlah, Husna.. Ana rasa, ana hidup ni untuk menyusahkan orang saja. Baik ana tak payah hidup.”

Ayu kembali menangis. Husna sedikit terkejut. Dia tidak pernah menyangka sahabatnya yang selama ini dilihat begitu kuat dan ceria, sebenarnya ditimpa bermacam-macam masalah. Sebenarnya, dia tidak pernah tahu bahawa Ayu tinggal bersama neneknya. Dia sedikit kesal dengan dirinya yang tidak begitu prihatin dengan keadaan sahabatnya. Sedangkan, selama ini, dia bersungguh-sungguh menghidupkan suasana ukhuwwah fillah di sekolah.  Apa guna kesungguhannya itu jika dengan sahabat sendiri pun ukhuwwahnya masih renggang. Husna beristighfar panjang, kesal.
“ Ayu, Allah uji ikut kemampuan, kan? “
“ Ya. Ana tahu itu. Tapi, ini berat, Husna. Berat.”

“ Ayu, ada orang yang ujiannya lagi berat. Enti masih ada mak ayah dan enti kenal mereka. Ada orang yang ditinggalkan mak ayah sejak kecil. Mereka tak kenal pun erti kasih sayang. Enti masih ada nenek, Pak Su, keluarga yang menyayangi enti. Malah, enti juga ada kawan-kawan dan guru yang sedia membantu. Enti beruntung, Ayu. Enti beruntung sebenarnya..”
“ Apa yang untungnya ana, Husna? Ana tak beruntung..”

“ Enti beruntung sebab sekurang-kurangnya, enti pernah merasai kasih sayang mak ayah enti. Ana tak. Sejak kecil, ana duduk dengan keluarga Zul. Parents ana orang sibuk, Ayu. Bila balik cuti, mereka selalu tiada di rumah. Ana sunyi duduk kat rumah sorang-sorang. Adik-beradik pun tiada. Sebab itulah, ana lagi suka duduk di asrama, walaupun rumah ana dekat. Apapun, ana tetap bersyukur, walaupun hakikat itu terpaksa kita telan. Sebab ujian itu nikmat. Getir itu menyebabkan kita tabah. Tapi, ana yakin satu hakikat. Rahmat Allah itu sangat luas, Ayu, sangat luas.”

Suasana duha itu hening. Matahari bersinar terang, tidak begitu terik. Husna dan Ayu diam, larut dalam emosi dan memori masing-masing. Ya, semua manusia itu diuji dan pernah merasa detik kegelapan dan kegagalan dalam hidupnya. Tanpa derita, bagaimana mungkin seseorang itu memperbaiki dirinya.

“ Ayu, ana nak kongsi dengan enti satu sajak yang ana suka. Ana simpan dalam dompet. Ke mana-mana ana pergi, ana bawa. Sebab baitnya memujuk ana untuk terus kuat. Nah, cuba tengok ni, “ ujar Husna, menghulurkan sekeping kertas kepada Ayu.

Dalam esak tangisnya, Ayu mula membaca.

Puisi Warna Bahagia

Adakala kita perlu kepada derita
Biar dihargai erti bahagia
Bukanlah senang seperti disangka

Adakala jatuh itu adalah perlu
Biar nanti terasa manisnya erti bangun itu,
Untuk engkau terus usaha tanpa jemu.

Dunia sepi tanpa itu semua,
Hidup kaku hilangnya warna,
Kalau yang wujud hanyalah warna bahagia.

Sedih, jatuh, derita dan terluka,
Adalah juzuk warna hidup kita,
Yang dengannya,
Kita belajar mensyukuri harga bahagia,
Yang dengannya,
Kita belajar untuk terus bangun mengejar syurga.

~[051211]~
Afdholul Rahman CA
Irbid
Puisi Warna Bahagia
1508
Langit Illahi.

Ayu tersentuh. Dia terdiam sejenak. Tidak semena-mena, dia bangkit menghadap kiblat, lalu mengerjakan sujud syukur. Husna terpaku, bingung dengan tindakan sahabatnya yang seorang itu. Seketika kemudian, Ayu bangkit dari sujudnya lalu menadah tangan berdoa. Husna turut mengangkat tangan, meng-amin-kan doa sahabatnya itu.
“ Husna, terima kasih, “ ujar Ayu, menatap wajah Husna.
Matanya masih sembam. Tetapi, kelihatan ada sinar di situ. Bibirnya juga mula mengukir senyuman.
“ Sama-sama. Maaf kalau ana tak menjadi sahabat yang baik buat enti.”
“ Tak. Patutnya, ana yang ucap terima kasih kepada enti. Sebab enti adalah sahabat terbaik ana.”
“ Apa yang enti doa tadi?” soal Husna.
“ Nak tahu? Hm.. Ana doa, supaya Allah kabulkan semua permintaan enti. Enti doa apa?”
“ Ana doa, supaya Allah izinkan kita sama-sama beriringan masuk ke syurga nanti.”
Air mata Ayu menitik. Dia begitu terharu dengan sahabatnya yang seorang itu. Husna hanya tersenyum. Matanya berkaca, namun, tidak tumpah.
“ Husna,” ujar Ayu.
“ Hm?” Husna menoleh. Pandangan mereka bersatu.
“ Uhibbukifillah.”
“ Uhibbukifillah aidhan.”
Sinar duha itu menyaksikan dua sahabat yang berukhuwah kerana Allah, memperbaharui dan memperteguh hubungan mereka. Mereka berpelukan erat. Rasa sayang itu mengalir, seolah memancarkan cahaya di segenap penjuru alam. Burung-burung berkicau riang, menyanyikan lagu irama kehidupan. Ukhuwah, bukan untuk diperjuangkan, tetapi, ia adalah natijah daripada iman. Jika ukhuwah itu lemah, maka, yang perlu dikuatkan itu ialah iman. Ya, iman itu menjadi paksi!
***

Sudah hampir  tiga bulan aku menjadi adik angkat Abang. Selama itu jugalah, aku berasa hidupku sangat bahagia. Senang kata, aku merasakan dunia ini aku yang punya! Segala keinginanku dipenuhi. Pernah suatu ketika, Abang menurut apabila aku mengajaknya menemani aku membeli-belah di Mall. Sebenarnya, Kak Ayu pernah menegur tindakanku yang satu ini, entah mengapa, nasihat itu sekadar bermain di cuping telinga. Ia tidak tembus ke hati.

“ Zul, isu abang angkat adik angkat ini sebenarnya tidak dibolehkan. Ia jalan menuju zina. Sebenarnya, konsepnya sama dengan couple. Namanya saja yang lain. Hubungan antara lelaki dan perempuan ajnabi, tetap tidak dibolehkan, melainkan melalui perkahwinan yang sah. Ana pesan sekarang, supaya enti tak menyesal nanti. Sebab bila seorang tu betul-betul sayang pada kita, dia akan hormat kita. Lelaki yang gentleman takkan berani sentuh perempuan. Tapi lelaki yang lebih gentleman takkan berani sentuh hati perempuan. ”

Begitulah pesanan Kak Ayu. Tetapi, bagiku, selagi aku tidak bersentuhan, membuka aurat atau berzina, menjadi adik angkat Abang itu  masih okey.

“ Assalamualaikum. Jauh menung, Zul.”
Aku tersentak. Kuangkat sedikit wajah. Setentang denganku, Munawar sedang berdiri tegak, persis sedang berkawad. Di tangannya, ada satu bungkusan berbalut kemas.
“ Waalaikumussalam. Eh, tak ada lah.. Bungkusan untuk siapa? Apa di dalamnya?”
“ Hm.. Agak-agak?”
“ Ntah,” ujarku, mengangkat kening.
“ Rahsia.”
“ Hish, abang adik pun main rahsia-rahsia,ek?”
“ Ya.”
“ Sampai hati.”
“ Nak tahu?”
Aku mengangguk.
“ Isinya jubah. Abang nak bagi pada someone yang special buat Abang.”
Aku sedikit teruja. Jubah? Someone special? Aku mula merasa ada sesuatu yang tidak kena.

“ Tapi, Abang memerlukan bantuan Zul,” sambung Munawar lagi, sedikit tersenyum.
“ Huh?”
“Abang nak Zul bagi ni pada kakak Zul.”
“ Kakak?”
“ Ya, kakak angkat Zul.”
Aku semakin bingung. Setakat yang aku tahu, aku hanya ada abang angkat. Tak pernah ada kakak angkat. Eh, melainkan…

“ Kak Husna? ”jawapanku membuatkan Munawar tersengih lebar.
“ Ya. Kalau Zul nak tahu, Abang dah lama jatuh hati pada dia. Macam-macam Abang try untuk dekati dia. Tapi, satu haprak pun dia tak layan. Dia hebat, macam mawar. Cantik, tapi, penuh dengan duri. Abang pernah ajak dia untuk berjumpa, tapi, dia tetap enggan. Segala surat dan hadiah yang Abang beri, dia pulangkan semula. Katanya,hatinya sudah dicuri dia. Tapi, Abang tahu yang Abang tak boleh berputus asa. Masih ada peluang. Jadi, Abang perlukan Zul untuk dapatkan Husna.”

Lidahku seakan terkunci. Rasa kecewa yang teramat sangat. Paling utama, rasa dikhianati dan diperbodoh-bodohkan. Mataku mula berkaca.
“ Eh, kenapa nangis?” aju Munawar.
Aku masih membisu. Terasa kesal kerana tidak mengendahkan nasihat Kak Ayu. Abang bukanlah lelaki gentlemen. Hakikatnya, dari segi zahir, semuanya hebat. Tetapi, cuba ditanya soal iman, hm…
“ Zul minta maaf. Zul tak nak jadi adik angkat Abang dah. ”
Munawar resah. Dia sedar yang dia sudah terlepas cakap. Namun, apakah daya? Terlajak kapal boleh diundur, terlajak kata, badan binasa. Cepat-cepat dia memujuk.
“ Ala.. Abang gurau saja tadi. Nak tengok Zul cemburu ke tak. Cemburu kan tanda sayang? Sebenarnya..”

“ Sebenarnya Abang nak gunakan Zul untuk rapat dengan Kak Husna ,kan? No way, Abang, or I should say Mr M! Not even once! Enta mungkin boleh tipu ana tentang adik angkat lah, abang angkat lah, terangkat-angkat lah. Tapi, tentang Kak Husna, enta tak akan dapat dekat dengan dia walau setapak!”luah aku, menggenggam penumbuk.

“ Hey.. Relax lah.. Ana tak buat apa-apa pada enti, okey? Ana tak pernah pun cakap ana sayang enti sebagai adik. Enti yang berlebih-lebih anggap ana sebagai Abang..”
“ Heh, wait a minute , sir. Bukan ke enta yang beria-ia memujuk ana supaya jadi adik angkat enta?”
“  Bila masa ana beria-ia? Bukan enti yang pilih untuk jadi adik angkat ana?”
“ Hish, dasar lelaki tak gentlemen langsung!”
“ Ana lelaki gentlemen,okey?”
“ Ya? Kak Ayu kata, lelaki yang gentleman takkan berani sentuh perempuan. Tapi lelaki yang lebih gentleman takkan berani sentuh hati perempuan.”

Munawar mendengus benci. Dia sedar bahawa dia di ambang kegagalan. Dia gagal mengawal emosi dan amarah. Panas baran, itulah tabiatnya sejak kecil.
“ Ana sekadar berusaha untuk dekati Husna. Itu saja. Salah ke berusaha? Allah sendiri suruh berusaha, “ ucap Munawar.
“ Ya, tapi, matlamat tak menghalalkan cara.”

Aku dan Munawar sama-sama menoleh ke arah pintu. Ustaz Zahazan tercegat di situ. Perlahan-lahan, beliau melangkah masuk. Riak mukanya serius.
“ Er.. Ustaz, buat apa kat sini? “ aju Munawar, terketar-ketar. 
“ Hm.. Sepatutnya Ustaz yang tanya enta Munawar, apa yang enta buat di sini? ”
“ Er..”
“ Nak mengulang sejarah tahun lepas, kah? Tak serik lagi? “

Ustaz Zahazan merenung Munawar tajam. Aku terpinga-pinga. Apa kisah tahun lepas? Ada sesuatu yang berlaku melibatkan Munawar kah?
***

0 comments: