Friday, March 13, 2009

Jangan merajuk wahai Da'ie



Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja
perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan
kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, begitu juga dalam
kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah
sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap
insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan
susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar
menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai'e,
mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka
lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah
menimpa.

Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat
seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa
hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia.
Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan
hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya
pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang
Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi'.


Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran
menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap
keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk
mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait
Kalamullah. Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu
diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan.


Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya


Begitulah Kisah seorang Nabi
Diuji Allah begitu sekali

Wahai Dai'e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri,
jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi,
tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh
hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da'wah lillahi. Begitulah di
kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa
hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah
dari Tuhan. Menyoroti kehidupan Dai'e, tidak ubah seperti kisah ini,
siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah
urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam
Allah apabila Dia berfirman:

"Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar
gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: "Aku tidak meminta upah
sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan
(mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada
Tuhannya." (Al-Furqan:56- 57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak
bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat
Tuhannya sambil berkata: "Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha
Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim"
(Al-Anbiyaa' :87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari
sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya
taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari
kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup
bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan
kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih
mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai'e mahukan selain ketenangan
dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat
mengakui kesalahan.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih
hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika
kamu orang-orang yang beriman" (Ali-`Imran: 139)


Inilah Dai'e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas
kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah
mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi
keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa
mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan
ini adalah kejayaan.

ihsan:
HALAQAH.NET

1 comments:

+akufobia+ said...

jangan putus asa.bergembiralah dengan kerjakerja kamu.kamu tak akan rasa kecewa walaupun hasilnya tak seberapa.kerana kamu tahu kamu telah berusaha.kamu hanya serahkan hasilnya kepada si DIA yang maha berkuasa.semoga kalian tetap kuat menyusuri jalan ini dengan sabar.ya.sabar.kamu akan jadi hebat.ngee.