Sunday, December 19, 2010

"The REDS"


Dalam Liga Perdana Inggeris, ada sekurang-kurangnya dua pasukan yang teramat sinonim dengan warna merah. Satu adalah Manchester United, yang satu lagi adalah Liverpool F.C. Man U –begitulah mereka lebih sering dipanggil- terkenal dengan gelaran “The Red Devils” manakala Liverpool pula dijoloki dengan panggilan “The Reds”. Ertinya, MERAH adalah sebahagian daripada wujudnya pasukan-pasukan tersebut.

Namun, Man U, untuk sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, pasti akan hadir dengan jersi PUTIH, atau HITAM, atau BIRU –bergantung kepada jersi kedua mereka untuk musim itu- setidak-tidaknya ketika mereka bertandang ke Anfield untuk bertembung dengan pasukan Liverpool. Sebegitu jugalah dengan “The Reds”, setidak-tidaknya mereka tidak lagi menjadi RED tatkala bertemu “buku dengan ruas” dengan tuan rumah, Man U, ketika perlawanan diadakan di Staidum Old Trafford.

Hal yang sama turut dialami oleh Naib Juara Piala Dunia, pasukan Belanda, yang sinonim dengan panggilan “Orange”. Biarpun jersi warna oren sudah sebati dengan mereka sekian lama, ada ketikanya mereka hadir dengan jersi warna lain –biasanya biru atau putih- dalam sebahagian perlawanan Piala Dunia, biarpun pasukan lawan tidak memakai jersi warna Oren kebanggaan mereka. Ertinya, biar pun warna jersi yang menjadi “sebahagian” pasukan-pasukan ini, itu tidak menghalang mereka daripada bermain dengan jersi warna lain. Tidak ada tahyul-mahyul betapa kaler jersi yang berbeza akan membawa nasib malang kepada mereka, lantaran mereka semua sedar bahawa yang namanya pasukan Man U, Liverpool atau Belanda, bukan terletak pada warna jersi yang dipakai, tetapi “siapa di balik jersi” yang berada di atas padang.

Begitu jugalah dengan gerakan Islam contoh bernama Ikhwanul Muslimin. Ketika terjadinya perselisihan di antara sesama aktivis gerakan Ikhwan cawangan Iraq berhubung nama rasmi yang ingin diguna pakai oleh mereka –ada yang mahu memberi nama yang sesuai dengan keadaan setempat, sementara yang lain berkeras mengekalkan nama “Ikhwanul Muslimin”- Syeikh Muhammad Mahmud Ash-Shawaf mengadukan perselisihan ini kepada pengasas sekaligus Mursyidul Am gerakan Ikhwan, iaitu Imam Hasan Al-Banna. Apa kata Al-Banna?

“Kita tidak terlalu mementingkan sebuah nama, kerana yang terpenting pada kita adalah dakwah Islam, apa pun nama dan bajunya.”

Saudaraku,

Mungkin inilah rahsia pada perkataan Al-Banna tatkala ia menyebut‘berapa ramai di kalangan kami, tetapi dia bukannya daripada kami. Dan berapa ramai yang bukan berada di kalangan kami, tetapi justeru ia adalah sebahagian daripada kami.” Kerana mungkin Al-Banna sudah menjangkakan episode hitam yang kelak bakal terjadi di kemudian hari: yang “Ikhwan”nya meninggalkan perkara asas yang sepatutnya mereka perjuangkan, iaitu tarbiyah, sedang yang bukan “Ikhwan”nya pula hadir dengan akhlak dan etika seorang Muslim.

Mereka bergaduh dan bertengkar di relung-relung masjid, seakan-akan berbeza jemaah dan gerakan Islam, seakan pemutus hubungan persaudaraan. Sedang dengan non-Muslim sahaja kita diseru untuk bergaul dan muayasyah dalam keadaan yang baik, apa-apaan anda senantiasa mencari ruang perbezaan tatkala bertemu dan bertembung dengan saudaramu yang berasal dari lain gerakan?

Ingatlah, anda bukanlah pemain Man U walaupun anda memakai jersi berwarna merah yang tertera nombor 10 dan nama Wayne Rooney, tetapi manusia bernama Wayne Rooney tetap seorang pemain Man U biar pun ia memakai jeans, sandal dan baju ranggi. Maka ; “yang penting Islamnya, walau apa pun “baju” yang ia pakai!”

3 comments:

AmirSyafiq said...

wahh.
artikel.akh.faridul.
mmg.suatu.karya.yg.harus.dipanjang.panjangkan.

teruskan.berkongsi.

+akufobia+ said...

sharing is kongsi.

ammar_lfc said...

i thought kongsi is sharing...