Wednesday, January 05, 2011

Pentingnya Thiqah sebagai seorang Pendakwah

Di dalam organisasi, komunikasi adalah elemen terpenting untuk sebagai asas dalam hubungan antara ketua dan ahli. Arahan dan maklumat diberi adalah dalam bentuk komunikasi.

Kebiasaannya, masalah terjadi apabila arahan ketua sukar diikuti kerana halangan dalam komunikasi.

Apa itu komunikasi? Komunikasi secara umumnya ialah proses penyampaian maklumat dari satu pihak (penyampai) kepada pihak yang lain (penerima).

Menurut Harold D. Lasswell, komunikasi ialah SIAPA mengatakan APA, kepada SIAPA, melalui APA dan untuk APA.

Manakala Everett M. Rogers mentakrifkan komunikasi sebagai satu proses untuk menyampaikan dan menerima idea-idea dan perasaan dengan tujuan untuk menukar perilaku orang ramai.

KEPENTINGAN KOMUNIKASI

  1. Memindahkan maklumat.
  2. Pembelajaran.
  3. Pengaruh.
  4. Hiburan.
  5. Sosialisasi.

KOMUNIKASI DAN PENGURUSAN

"Kamu sekelian adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang apa yang kamu pimpin. Pemimpin akan ditanya mengenai hak rakyat yang dipimpinnya. Isteri menjaga hal rumah tangga akan ditanya hal yang dipimpinnya. Pelayan menjaga hak majikannya akan ditanya hal yang dipimpinnya. Kemu sekalian adalah pemimpin dan akan ditanya (diminta bertanggungjawab) terhadap kepimpinan kamu." - Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Masalah yang ditimbulkan ahli, akan menjadi tanggungjawab seorang ketua. Maka, ketua perlu memastikan komunikasi yang berkesan berlaku antara ketua dan ahli supaya masalah tidak timbul dan seterusnya memberi beban kepada ketua.

HALANGAN KOMUNIKASI

  1. Halangan terhadap penghantar (persekitaran, sikap, nilai, harapan).
  2. Halangan terhadap pemahaman (bahasa, tahap intelek, persepsi terhadap mesej, panjang komunikasi, kesan terhadap status).
  3. Halangan terhadap penerimaan (prejudis konflik antara penerima dan pengirim).

Apa yang ingin saya tekankan, ialah berkaitan dengan konflik antara penerima dan pengirim. Hal ini berlaku kebanyakannya adalah kerana hilang rasa percaya dan keyakinan atau thiqahahli kepada ketua.

Thiqah bermaksud keyakinan seorang ahli terhadap ketua atau pimpinan pada kemampuan dan keikhlasannya, dengan keyakinan yang mendalam sehingga akan melahirkan perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan.

Dakwah tidak wujud tanpa qiadah, sejauh mana timbal balik thiqah antara pemimpin dan ahli merupakan kekuatan bagi sesuatu organisasi dan kekemasan strategi bagi mencapai matlamatnya serta mengatasi halangan–halangannya.

Firman Allah yang bermaksud :

"Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya" - An-Nisa' : 65

MEWUJUDKAN THIQAH

Untuk membentuk thiqah di kalangan ahli:

  1. Pemimpin perlu mengenali siapakah ahlinya sebelum ini dan mengkaji latar belakangnya.
  2. Pemimpin perlu membuat ahli yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya.
  3. Akhlak pemimpin perlu dijaga sehingga ahli bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, disamping bersedia memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik.
  4. Hujah pemimpin yang baik perlu dalam kemungkinan bahawa pendapat ahli salah dan pendapat pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas syarak.

MASALAH YANG BERLAKU

Seringkali tercetusnya krisis ketaatan anggota terhadap pimpinan berpunca dari sikap pimpinan yang 'cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap' . Bukankah Allah telah menempelak golongan seperti ini dalam firmannya:

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" - Al- Baqarah : 44

Seterusnya, pemimpin memberi maklumat yang kurang jelas di kalangan ahli untuk memahami sesuatu arahan ataupun terdapat halangan dalam penyampaian mesej tersebut seperti yang telah dinyatakan di atas.

PENUTUP

Sebagai umat Islam, kita seharusnya sedar bahawa setiap diri kita adalah pemimpin. Mahu tidak mahu, kita pasti ada tanggungjawab. Tanggungjawab itu, tidak kiralah ahli bawahan kita, ahli keluarga kita mahupun rakan-rakan kita atau apapun jua, masing-masing akan punya tanggungjawab.

Jagalah tanggungjawab masing-masing, supaya ia tidak menjadi beban di akhirat kelak.

0 comments: