Pages

Tuesday, November 29, 2011

Menjadi Murabbi Sukses

Proses tarbiyah adalah suatu pekerjaan yang sangat berat dan tidak mudah kerana tarbiyah bererti:

1. Mempersiapkan manusia.
2. Membentuk dan memformatnya menjadi peribadi muslim contoh.
3. Menghilangkan potensi negatif dari diri anak didik (mutarabbi).
4. Mengembangkan potensi positif pada diri anak didik (mutarabbi).

Tarbiyah bererti berinteraksi dengan makhluk manusia yang memiliki banyak dimensi dan permasalahan yang kompleks.

Orang yang berinteraksi dengan makhluk selain manusia dengan mudah dapat menundukkan dan mengendalikannya namun berinteraksi dengan manusia tidak dapat disamakan dengan berinteraksi dengan binatang atau makhluk lainnya.

Dengan yang demikian, membangun manusia dengan proses tarbiyah memerlukan murabbi-murabbi yang profesional.

Oleh kerana itu, tidak semua orang mampu mentarbiyah, bahkan orang yang sudah memiliki :

a. Kefahaman yang bagus.
b. Latarbelakang ilmiah yang memadai.
c. Kemampuan berbicara.
d. Kemampuan berdialog yang baik.

sekalipun, masih belum cukup untuk menjadi murabbi yang berjaya.

Mengingati bahwa mentarbiyah manusia bukan suatu pekerjaan yang mudah maka para murabbi dituntut untuk terus melakukan peningkatan kualiti diri agar menjadi murabbi yang profesional.

DEFINASI MURABBI

Menurut syariat Islam, Murabbi adalah orang yang berkewajiban melakukan tugas pentarbiyahan di mana fokus kerjanya ialah pada pembentukan peribadi muslim soleh (baik) dan musleh (melaksanakan tugas pengislahan) yang memberi perhatian kepada aspek-aspek berikut :

PERTAMA : Aspek pembentukan.

Aspek ini memberikan penekanan kepada tiga (3) sisi penting iaitu :

1. Pembentukan jiwa kerohanian.
2. Pembentukan wawasan pemikiran.
3. Pembentukan kegiatan amal.

KEDUA : Aspek pemeliharaan.

Setelah ketiga-tiga sisi di atas telah wujud dalam peribadi mutarabbi, maka ianya perlu dijaga dan dipelihara serta dibuat penilaian supaya tidak berkurang, menurun atau melemah.

KETIGA : Aspek pengembangan.

Setelah adanya usaha-usaha memperbaiki kekurangan dan kelemahan serta meningkatkan kualiti, maka di samping itu perlu pula ada pandangan jauh ke depan bahwa tugas pentarbiyahan mesti bersedia dan mampu menawarkan konsep perubahan yang mampu mengajukan jalan penyelesaian kepada berbagai permasalahan umat dan berani tampil untuk memimpin umat.

KEEMPAT : Aspek pengarahan.

Akhirnya proses itu mestilah juga mampu bagi memperkasakan kualiti diri untuk menjadi unsur perubah yang aktif dan produktif di mana murabbi sepatutnya mampu untuk :

a. Mengarahkan.
b. Meletakkan fungsi.
c. Memperkasakan.

anak didik (mutarabbi) mereka sesuai dengan bidang dan kapasitinya.

Manakala anak didik (mutarabbi) mereka pula hendaklah sentiasa bersedia untuk :

a. Diarahkan.
b. Ditugaskan.
c. Ditempatkan.
d. Diberi fungsi.

sehingga kedua-duanya mampu memberikan sumbangan yang nyata dan praktikal untuk masyarakat dan umat serta tidak ragu-ragu untuk berjuang dan berkorban demi tertegaknya Agama Islam.

RASULULLAH SAW SEBAGAI MURABBI

Manusia pertama dalam Islam yang bekerja sebagai murabbi adalah Rasulullah saw.

Di dalam Al-Qur'an banyak ayat yang menjelaskan fungsi pentarbiyahan seperti di dalam ayat-ayat berikut :

"Sungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (QS Ali Imran : 164)

"Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta buruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (as-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata". (QS Al Jumu'ah : 2)

Di dalam surah Al-Baqarah, Allah swt berfirman :

"Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui." (QS Al Baqarah : 151)

Dalam ayat di atas, adalah jelas bahwa Rasulullah saw diutus kepada ummatnya sebagai murabbi (kama arsalna fikum rasulan minkum).

Selain itu, baginda dalam melaksanakan fungsi pentarbiyahan telah dibekalkan dengan kurikulum dan penguasaannya yang benar dan utuh (yatlu `alaikum ayatina).

TUGAS TARBIYAH BUKAN MUDAH

Sudah menjadi tugas dan kewajiban seorang murabbi untuk menjadikan mutarabbinya menjadi peribadi yang berjaya dan juga berdikari dalam segala hal di dalam kehidupannya, termasuk juga menanamkan nilai-nilai kebaikan kepada mereka.

Perkara ini bukanlah persoalan yang mudah bagi seorang murabbi untuk dapat mencapai matlamat yang digariskan di atas kerana ia memerlukan :

1. Kerja keras.

2. Kesabaran.

3. Strategi.

4. Contoh tauladan yang terbaik.

Menanamkan kebiasaan yang baik kepada anak didik (mutarabbi) mestilah dengan contoh-contoh yang realistik yang kemudiannya boleh dilihat oleh anak didik (mutarabbi) secara "real" dengan mata kepala mereka sendiri.

Sebagai contoh, suasana mutarabbi yang suka berteriak dan meninggikan suara, boleh jadi kerana mereka biasa ditengking dirumahnya oleh ibu bapa mereka, orang-orang yang mengasuhnya ataupun juga teman-teman sepermainannya.

Banyak lagi contoh dan peristiwa yang mungkin kita temui dalam kehidupan seharian kita tentang ketidakbaikan yang dilakukan oleh anak didik (mutarabbi) adalah disebabkan oleh keburukan yang ditunjukkan oleh orang dewasa ataupun teman sepermainan yang ada di sekitarnya.

PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN

Ada beberapa perkara yang mesti kita perhatikan ketika kita ingin menanamkan kebiasaan-kebiasaan yang baik terhadap anak didik (mutarabbi) kita iaitu :

PERTAMA : BERIKAN QUDWAH ATAU CONTOH YANG BAIK TERHADAP MEREKA

Sudah pasti, menjadi seorang murabbi memerlukan keupayaan seseorang untuk dapat memberikan qudwah atau contoh yang terbaik terhadap mutarabbi mereka.
Mana mungkin mereka yang kita didik akan menjadi peribadi yang baik jikalau kita sebagai seorang murabbi tidak memberikan contoh dan tauladan yang baik terhadap mereka.

Banyak perkara yang kemudian boleh kita lihat di dalam realiti dan keadaan pentarbiyahan kita ketika ini, manakala seorang murabbi hanya mengajarkan perkara-perkara yang bersifat teori semata-mata ataupun penyampaian bahan sahaja tetapi tidak mendorong mutarabbi dari sudut pentarbiyahan yang lainnya seperti tingkah lakunya, motivasinya dan lain-lain.

Kita tidak seharusnya mudah merasa bangga ketika anak didik (mutarabbi) kita berjaya di dalam bidang akademik mereka akan tetapi di sisi yang lainnya mereka tidak cerdas bahkan terkebelakang dari segi :
1. Moral.

2. Tingkah laku.

3. Cara berfikir.

dan hal-hal yang lainnya.

Hal ini boleh berlaku mungkin disebabkan oleh ketidakpedulian kita terhadap perkara-perkara baik yang seharusnya kita contohkan kepada mutarabbi kita.

KEDUA : BERIKANLAH GANJARAN DAN PUJIAN

Kita pasti merasa senang dan gembira ketika orang atasan kita memberikan "reward" (ganjaran). Boleh jadi ganjaran yang diberikan kepada kita bukanlah besar sangat.

Janganlah kita melihat besar atau kecilnya ganjaran ataupun barang yang akan diberikan akan tetapi kita melihat kepada inti dari pemberian ganjaran itu iaitu untuk memberikan penghargaan terhadap apa yang telah dilakukan.

Ingat, bahwa apa yang kita berikan tidak semestinya berupa barangan akan tetapi boleh juga dalam bentuk ucapan seperti :

1. Bagus.
2. ‘Well done’.
3. ‘Good work’.
4. ‘Keep it up’,

Ucapan-ucapan inilah yang kemudiannya akan membuatkan anak didik (mutarabbi) kita melakukan perkara yang serupa terhadap temannya ataupun orang dewasa yang ada di sekitar mereka kerana dia sudah biasa melakukan kebaikan dan kemudian dihargai dengan ucapan atau perbuatan yang baik sehingga secara automatiknya akan timbul kesedaran dalam peribadinya.

KETIGA : CERITAKANLAH PERJALANAN HIDUP / KISAH YANG BOLEH MEMOTIVASI MEREKA

Banyak sekali buku-buku cerita / kisah-kisah yang boleh meningkatkan motivasi anak didik (mutarabbi) untuk melakukan nilai-nilai kebaikan.

Contohnya seperti cerita tentang bagaimana mendidik mutarabbi supaya gemar bersedekah, tidak membazir, menghormati ibu bapa dan lain-lain.

Kita yang sudah dewasa pun masih suka mendengar cerita-cerita ataupun kisah perjalanan hidup insan cemerlang apalagi anak-anak didik kita.

KEEMPAT : INGATKANLAH MEREKA PADA SETIAP KESEMPATAN SEHINGGA PERKARA ITU MENJADI SEBUAH KEBIASAAN DALAM KEHIDUPAN MEREKA

Tarbiyah bukanlah hanya sekadar mengajarkan sahaja apa yang kemudiannya mesti dicapai oleh anak didik (mutarabbi), tetapi yang lebih penting adalah bagaimana sebuah teori ataupun inti pentarbiyah itu sendiri boleh diaplikasikan oleh anak didik (mutarabbi) dalam kehidupan seharian mereka.

Oleh kerana itu, ingatkanlah mereka pada setiap kali kita bersama mereka untuk melakukan nilai-nilai kebaikan itu dalam kehidupan seharian mereka.

Harapannya adalah supaya kemudian ianya akan menjadi sesuatu yang secara otomatiknya akan
diaplikasikan dalam kehidupannya tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak.

KELIMA : AJAK MEREKA KEPADA SESUATU YANG SIFATNYA “REAL” DAN TIDAK HANYA BERSIFAT TEORI

Mengajak mereka dalam kegiatan pembelajaran dan ko-Kurikulum bagaimana untuk merealisasikan sikap dan tingkah laku kita ketika berbicara dengan orang yang lebih tua ataupun yang lebih muda, lemah lembut dalam berkata-kata dan perkara-perkara baik yang lainnya akan membuatkan anak didik (mutarabbi) semakin ingat untuk sentiasa melaksanakan nilai-nilai kebaikan itu di dalam kehidupan mereka.

Janganlah kita hanya berkata-kata sahaja terhadap mereka akan tetapi juga berikanlah contoh "real" atau aksi nyata terhadap mereka di atas apa yang menjadi landasan teori yang kemudiannya direalisasikan melalui perlakuan di alam yang nyata.

Tidak dinafikan pentingnya kurikulum (manhaj) dan wasilah-wasilah tarbiyah, namun ianya selepas adanya murabbi yang berkemampuan lagi bijak, yang mentarbiyah dan mengajar menggunakan :

1. Akal.
2. Hati.
3. Jiwa.
4. Ruh.
5. Budi Pekerti.

MARI DAPATKAN SAHAM KITA

Ramai peribadi yg telah berubah perjalanan hidup mereka kerana satu hadiah dari murabbi yang ‘ikhlas’ ataupun tumpuan sejenak dari murabbi yang mulia.

Sertakan ‘kesabaran’ dalam tugas tarbiyah kita, sesungguhnya seseorang itu tetap dalam keadaan beribadat yang dikurniakan ganjaran sekiranya kita ‘ikhlaskan niat’ kerana Allah.

Sesungguhnya orang-orang yang di bawah tanggungjawab pentarbiyahan kita hari ini adalah tunggak bagi perkembangan dakwah dan ummah di masa hadapan.

Mari kita dapatkan saham dari saham-saham kebaikan, iaitu :

1. Berkhidmat untuk agama.
2. Mentarbiyah untuk pembangunan akhlak mulia.
3. Menanam nilai-nilai dan asas-asas kebaikan dalam diri anak didik (mutrabbi) mu.

Kelak kita akan melihat masa depan yang menyejukkan mata kita dan di Akhirat pula ianya menjadi sesuatu yang meninggikan darjat kita.

Perumpamaan seorang murabbi adalah seperti :

“Bumi yang subur kehijauan memerlukan petani yang menyemai tanaman.”

KEUTAMAAN MURABBI

Kita percaya murabbi dalam tugas pentarbiyahannya adalah seperti pakar bedah dalam bilik operasinya, di mana di tangannya terletak kesembuhan pesakit (dengan izin Allah) ataupun kematiannya (dengan izin Allah), walau sehebat manapun hospital, peralatan dan kecanggihan peralatan pembedahan kerana hanya dengan kesilapan kecil pakar bedah itu sahaja boleh membawa padah yang buruk.

Ya! demikianlah ‘kerja-kerja pentarbiyahan’ di mana kejayaannya bergantung kepada sejauh mana hubungan fikiran, perasaan dan jiwa di antara murabbi dengan anak didik (mutrabbi) melalui ilmu dan kemahirannya.

Maka kerja pentarbiyahan itu merupakan satu :

1. Seni.
2. Anugerah.

Begitu juga ia adalah :

1. Ilmu.
2. Amal

Sekiranya kita hanya tumpukan kepada ilmu semata-mata, jadilah kerja pentarbiyahan itu seumpama membangun busut pemikiran dan maklumat yang sebenarnya boleh didapati di dalam buku-buku dan jurnal-jurnal.

Sekali-kali kita tidak berhajat kepada ciptaan bernyawa yang merbahaya dan membinasakan seperti itu, ataupun kita tidak juga berhajat kepada seseorang yang diistilahkan sebagai murabbi seumpama itu.
Murabbi yang berkemampuan lagi tinggi motivasinya mampu merubah keadaan yang sangat sukar kepada satu kekuatan yang mendorong kepada sumbangan dan pengorbanan.

Manakala murabbi yang lemah dan pembinasa semangat boleh merubah keadaan yang paling baik kepada ‘jadam’ yang pahit, menjadikan terputusnya ikatan dan lemahnya perasaan serta menyebarkan kesan yang sangat negatif dalam kerja-kerja pentarbiyahan.

Sesungguhnya!

“Di sebalik ummat yang hebat, terdapat pentarbiyahan yang hebat.”

“Di sebalik pentarbiyahan yang hebat, terdapat murabbi yang benar, jujur dan ikhlas.”

Sesungguhnya tugasmu adalah berkorban kerana ia adalah ibu segala pekerjaan. Di atas bahumulah tanggungjawab membina ummah seluruhnya.

Wahai para murabbi! Kamu adalah asasnya.

    1. Kuatnya ummah kerana kuatnya kamu.
    2. Lemahnya ummah adalah kerana lemahnya kamu.
Ya Allah, mudahkanlah kami sebagai murabbi untuk menyampaikan bahan tarbiyah dengan cara yang terbaik dan berkesan serta memberi keutamaan kepada perkara yang perlu diutamakan dahulu dan mencapai matlamat untuk mengubah dari sesuatu yang bersifat teori kepada yang bersifat amali dan praktikal. Kurniakanlah kami ketenangan dalam kami melaksanakan tugas untuk mencapai objektif tarbiyah sehingga ianya menjadi penunjuk jalan kepada mereka-mereka yang mendapat bahan pentarbiyahan dari kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Saturday, November 26, 2011

soalan paling susah

Setiap hamba di hari kiamat tidak akan dapat mengorak langkah menuju ke mana-mana,selagi dia belum selesai disoal siasat tentang empat perkara:

1) Tentang umur, di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu?

2) Di masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu?

3) Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?

4) Tentang 'ilmunya, apakah dia telah beramal dengan 'ilmunya itu?

renungkan soalan ini...pastikan kte dpt A+...^_^

wallahualam...

Friday, November 25, 2011

Berdoalah.


Firman Allah, (maksudnya) ;

" Berdoalah kepadaKu. Nescaya Aku akan perkenankan doamu.. " ( alGhafir : 60 )

Solat = Syukur