Pages

Monday, March 16, 2009

UkHuWaH wA tHiQaH



9. Persaudaraan (Ukhuwwah)

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Persaudaraan;

Persaudaraan itu ialah hati-hati dan roh-roh dihubungkan dengan ikatan akidah. Akidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain.

Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr: 9)
Saudara yang jujur akan merasakan saudara-saudaranya lebih utama dari dirinya sendiri kerana segala hidupnya bersama mereka. Sedangkan mereka, jika tidak bersamanya akan bersama dengan orang lain. Serigala akan hanya menerkam kambing yang bersendirian. Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain umpama bangunan yang saling kuat memperkuat antara satu sama lain.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. (Al-Taubah: 71)
Inilah yang sepatutnya kita lakukan.


10. Percaya (Thiqah)

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Thiqah;

Seorang tentera menaruh kepercayaan penuh kepada kewibawaan dan keikhlasan pemimpin hingga ke tahap lahir rasa kasih, menyanjung tinggi, hormat dan taat.
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Al-Nisa’: 65)

Pimpinan adalah sebahagian daripada dakwah. Dakwah pula tidak akan wujud tanpa pimpinan. Sejauhmana wujud hubungan saling percaya-mempercayai antara pimpinan dan tentera ini akan menentukan kekuatan sistem sesebuah jamaah, kekemasan strateginya, kejayaannya untuk mencapai matlamat dan sejauhmana ia mampu mengatasi segala rintangan dan cabaran.

Maka kebinasaanlah lebih hampir kepada mereka. (Mereka selalu berkata: Pendirian kami) mematuhi perintah dan memperkatakan perkataan yang baik (yang diredhai Allah) (Muhammad: 20-21)

Dalam dakwah Ikhwan, seorang pemimpin ibarat seorang ayah dari segi hubungan hati, seorang guru dari segi penyaluran ilmu, seorang syeikh dari segi didikan rohani, seorang ketua dari segi menentukan dasar am dakwah. Dakwah kita menggabungkan semua elemen ini. Kepercayaan kepada pemimpin merupakan asas kepada kejayaan mana-mana gerakan.

Oleh itu, setiap akh yang jujur perlu menyoal dirinya soalan-soalan berikut bagi mengetahui sejauhmana kepercayaannya kepada pimpinannya:

1. Adakah dia mengenali siapakah pemimpinnya sebelum ini dan telah mengkaji latar belakangnya?

2. Adakah dia yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya?

3. Adakah dia bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, di samping bersedia memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik?

4. Adakah dia bersedia untuk merasakan kemungkinan bahawa pendapatnya salah dan pendapat pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas syarak?

5. Adakah dia bersedia untuk meletakkan kehidupan hariannya di bawah telunjuk dakwah? Adakah pemimpin pada pandangannya berhak menentukan apa yang lebih penting antara kepentingan peribadinya dengan kepentingan dakwah?

Berdasarkan jawapan kepada soalan-soalan ini atau yang seumpama dengannya, seseorang akh akan meyakini sejauhmana hubungannya dengan pimpinan dan sejauhmana dia mempercayai kewibawaannya. Namun hati-hati manusia di tangan Allah dan Dia mentadbir hati-hati ini menurut kehendaknya.

Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal: 63)

2 comments:

Anonymous said...

Ya! ukhuwwah adalah satu elemen yang AMAT peting dalam sesbuah kumpulan.

"...dan ukhuwwah itu bukan terletak pada manisnya ucapan di bibir, mahupun tingkahlaku yang dizahirkannya.. tetapi melalui ingatan saudara di dalam doanya..

HEBAT! doa bukan sekadar senjata tetapi,penghubung antara jiwa.

"..kerana ALLAH menjadi penghubung antara hati2 mereka."

-doakanlah kebaikan utk saudaramu, kerana malaikat pula akan mendoakan kebaikan utk kita-

Unknown said...

hu.tapi kalau ukhuwwah yang salah macam mana?ada ke?kalau berpuakpuak tu macam mana pula?macam mana nak pecahkan puakpuak supaya jadi ukhuwwah yang mantap?hu.rasanya benda ni pun kena fikirkan.sebab biasanya semua ni berlaku di depan mata sendiri.cuma kadangkadang buat tak nampak je.kadang diorang boleh bercampur.tapi tak boleh melekat.ha.faham ke?(hade.pening sendiri.kiki.)