Pages

Saturday, April 07, 2012

Rindu 5#


Hari-hariku berlalu riang. Semakin lama, aku semakin senang berada di sekolah kampung ini. Adakalanya, rasa ingin capat-cepat kembali ke sekolah setelah lama bercuti. Malah, aku rasa aku telah banyak berubah. Jika dahulu, aku sering meremehkan solat. Kini, solat di awal waktu sudah menjdi rutin. Bukan itu sahaja, aku juga berasa lebih ringan untuk bepuasa sunat Isnin dan Khamis. Barangkali, ia adalah penangan rutin asrama yang mewajibkan penghuninya berpuasa seminggu sekali.Aku sendiri kaget dengan perubahan diriku. Meskipun tidak ketara, ia cukup memuaskan hati.

Hari ini hari Jumaat. Pagi itu, seperti biasa, semua pelajar akan menghadiri sesi QC. Semestinya, aku ternanti-nanti saat ini. Aku bersama rakan QC-ku; Qamarina,Farhana,Khalilah dan Zakiah, berkumpul di taman, tempat rasmi QC kami. Kami menanti Kak Ayu.

“ Pelik. Selalunya, Kak Ayu yang paling awal. Kita belum datang, dia dah tunggu sini. Ke mana dia, ek?” ujar Farhana, si hitam manis.

Kami hanya berpandangan sesama sendiri. Jauh di sudut hati, aku merasakan sesuatu yang tidak kena. Tidak lama kemudian, kelihatan Kak Husna datang menghampiri kami.
“ Assalamualaikum. Adik QC Kak Ayu,kan?”aju Kak Husna, tersenyum.

Kami mengangguk.
“ Hm.. Hari ini, Kak Husna tiada. Dia balik rumah, ada panggilan kecemasan. Neneknya meninggal dunia.” Begitu tenang Kak Husna berbicara.
“ Innalillah.. “ Kami melafazkan istirja’, serentak. Masing-masing agak terkejut mendengar khabar itu.
“ Habis tu, Kak Husna akan menggantikan Kak Ayu untuk QC hari ini kah?” soal Zakiah, gadis kacukan Melayu-Belanda.
“ Ya. Kebetulan, Kak Ayu lead QC pelajar Tingkatan 3. Pagi ini, mereka ada sesi solat hajat dan sesi bersama Puan Pengetua, “ terang Kak Husna.
“ Oh. Jadi, rasanya, kita dah boleh mula, kan?” aku bersuara.

Kak Husna, mengangguk. Maka, QC kami dimulakan dengan sesi tadabbur alQuran. Kami mentadabbur surah alHujurat, ayat 10 hingga 13. 






Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (11) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (12) Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (13)

“ Hm.. Okey, kita dah baca ayatnya dan terjemahan sekali. Daripada ayat ini, apa yang antunna faham?”aju Kak Husna, tersenyum.
“ Ayat ini berkisar tentang ukhuwwah. Allah jelaskan kat sini, kita semuanya bersaudara, tak mengira bangsa. Dan, kat sini, ada beberapa hak yang perlu ditunaikan. Pertama,kita dilarang mencemuh dan memperendahkan saudara kita itu. Kerana, mungkin, dia lebih baik daripda kita di sisi Allah, “ ujar Khalilah.

“ Sini, ana pula sambung. Yang kedua, kita dilarang memanggil sahabat kita dengan panggilan buruk. Jadi, kita kena panggil saudara kita dengan panggilan yang baik,” celah Qamarina.
“ Kak Husna, tapi, macam mana kalau ana suka orang panggil ana Zul? “ ajuku.
“ Hm.. Terserah kepada individu. Tapi, pastikan, nama panggilan tu ada makna, sebab nama itu merupakan satu doa buat diri kita. Yang penting,kita kena panggil kawan-kawan kita ni, nama yang dia suka. Macam enti, enti suka orang panggil enti Zul. Jadi, tak mengapa. Contohnya, orang panggil enti Iqa? Suka tak? “
“ Tak! Geli je..” balasku, menjuihkan bibir. Rakan-rakan yang lain tergelak kecil.
“ Jadi, Qamarina, Zakiah, Khalilah dan Farhana tak boleh panggil Zul dengan gelaran Iqa. Malah, ana sendiri tak boleh, walaupun ana lebih tua dari antunna. Bahkan, semua orang tak boleh! “ jelas Kak Husna, penuh ekspresi.
            “ Ha, semalam, ana ada belajar satu hadis ni,” Farhana bersuara.
“ Bunyinya macam ni;


 "Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Muslim). 

“ Betul tu, Farhana. Kalau kita suka orang panggil kita dengan nama yang baik, kita panggil orang dengan nama yang baik juga. Kalau kita suka orang hormat kita, kita hormat orang juga. Okey, apa firman Allah yang seterusnya? " ulas Kak Husna.
“ Yang ketiga, jauhi sangka buruk. Ana pun teringat, peringkat ukhuwah. Yang paling tinggi ialah ithar, iaitu mendahulukan sahabatnya berbanding dirinya. Yang paling rendah pula ialah husnuzhon, iaitu berbaik sangka. Ertinya, kalau kita buruk sangka dengan seseorang, kita tiada ukhuwah dengannya, “ kata Khalilah.

“ Hm.. Yang keempat, jangan mengintip. Yang kelima, jangan mencari aib orang. Yang keenam, jangan mengumpat, sebab ia seolah kita makan daging saudara kita yang telah mati, “ giliran Qamarina berbicara.
“ Ha, cakap pasal mengumpat ni.. Sebenarnya, dah ada satu kajian Sains. Menurut kajian itu, apabila seseorang itu mengumpat, struktur atom tubuh dia akan menjadi seperti bangkai, sangat buruk. Gelombang negatif daripada perbuatan mengumpat itu memberi kesan kepada si pengumpat dan juga pendengar umpatan, “ aku bersuara.

“ Oh.. Ya ke? Ilmu baru tu? Hm.. Jadi, peliharalah hak saudara-saudara kita, atau lebih tepatnya, sahabat dan orang di sekitar kita. Dan jangan rasa menyesal apabila bertemu dengan seseorang, sama ada baik atau buruk. Sebaliknya, hargai dia. Berbeza pendapat itu adat dalam bersaudara. Tapi, kalau kita betul-betul berukhuwah kerana Allah, ia tidak akan putus, “ ulas Kak Husna.

“ Macam mana nak berukhuwah kerana Allah , Kak Husna? Ana selalu dengar orang menyebutnya. Tapi, tak pernah ada orang yang menerangkan praktikal secara jelas, “ kata Khalilah, ingin tahu.
“ Mudah. Pertama, niatkan dalam hati, aku bersahabat dengan dia kerana Allah. Tajdid niat ini bukan sewaktu kita first time kenal dia, tapi, sepanjang kita berkawan dengan dia. Sebab syaitan akan selalu mencucuk hati kita agar bermusuhan. Jangan pernah biarkan syaitan bertepuk tangan dan bersorak kerana kita bermusuhan. Bila kita selalu tajdid niat, kita akan lebih jelas akan tujuan kita berkawan dengan seseorang itu. Hargai kelebihannya, tegur kesilapannya. Tetapkan dalam hati, satu impian, bahawa satu hari nanti, antunna akan bersama-sama sahabat antunna akan beriringan bila melangkah ke syurga. Paling utama, doakan sahabat kita itu. . Sahabat yang baik ialah sahabat yang membawa kita kepada Allah. Bila kita tengok wajahnya, tengok akhlaknya, kita tengok gerak langkahnya, dengar butir bicaranya, hati kita ingat kepada Allah, “ ujar Kak Husna, menatap setiap satu wajah kami.
Suasana hening seketika. Hanya kicauan burung yang kedengaran.

“ Tapi, Kak Husna, bukan mudah nak jumpa sahabat yang bawa kita kepada Allah,” luah Farhana.
“ Kita tak boleh terlalu mengharap agar kita dikurniakan sahabat begitu. Sebaliknya, jadilah sahabat yang sebegitu dulu. “
“ Maksud Kak Husna, kita kena jadi sahabat yang membawa kawannya kepada Allah, begitu? Susahlah, Kak.. It’s take a long period of time, “ balas Zakiah, seakan tidak puas hati.
“ Ya, ia memakan masa. Itulah Tarbiyah. It’s a process. Tarbiyah ini memakan masa, Hakikatnya, semua yang kita lalui ini adalah tarbiyah. Cabaran dalam hidup ini adalah tarbiyah supaya kita bersabar dan tabah. Nikmat dalam hidup ini adalah tarbiyah supaya kita bersyukur. Tarbiyah ini bukan suatu ynag ambil masa satu jam, dua jam, dengar ceramah, lepas itu, terus berubah. No!“ terang Kak Husna.
“ Habis tu, apa gunanya kita pergi dengar ceramah , daurah, mukhayyam, QC, nadwah, semua tu?” soal Qamarina.
“ Itu semua sekadar wasilah atau cara untuk kita tahu teori dan ilmu. Macam mana nak perbaiki diri kalau tiada ilmu? Ayat pertama yang turun dalam al-Quran juga berkaitan tentang ilmu; Iqra’!” kata Kak Husna.

“ Oh.. Sekarang baru ana faham perumpamaan yang Kak Ayu pernah beri semasa ana tanya apa itu tarbiyah, semasa awal tahun.  Dia kata macam ni, ‘ Tarbiyah itu umpama proses membuat burger.’ Ana blur sangat masa tu,” ujar Zakiah.
“ Jadi, apa yang enti faham?” aju Qamarina, ingin tahu.
“ Er.. Okey, begini. Contohnya, kita nak buat burger. Kita ada lembu. Untuk buat burger, kita tak boleh campak lembu seekor penuh tu , termasuk kepala, tanduk dan ekor semuanya, dalam mesin , tup-tap, keluar, terus jadi burger, siap ada sos semua. Mustahil,kan? “
Kami tergelak mendengar perumpamaan itu. Ia cukup menggelikan hati!

“ Sebaliknya,kita kena jumpa jabatan penternakan, eh ada ke? Ha, tak tau jabatan apa, tapi, untuk pemeriksaan kesihatan, sama ada lembu tu sesuai disembelih atau tak. Tak kan kita nak sembelih lembu yang kurus dan sakit, ya tak? Mau kena penyakit kuku, kaki ,tangan dan mulut. Then, kita kena jumpa penyembelih, minta dia ajarkan kita cara menyembelih lembu. Tak pun, minta dia yang sembelihkan. Lepas tu, kena tanggalkan kulit, lapah lembu. Kemudian, kena cuci daging lembu tu, selenggara betul-betul. Dah habis semua tu, baru boleh masuk mesin. Untuk buat semua itu, kita kena ada kemahiran dan bantuan daripada orang lain. Lepas dah proses daging jadi burger , kita kena jumpa penjual roti, salad, sos dan sebagainya. Dah beli bahan-bahan tu, barulah, kita boleh masak burger. Begitulah ceritanya..”

“  Susah juga nak buat burger,kan? Tak sangka, ia memakan masa..” ujar Khalilah.
“ A’ah. Tapi, hasilnya, cukup sedap!” kata Farhana pula.
“ Macam tarbiyah juga. Lagi lama seseorang itu ditarbiyah, semakin ramai orang yang dia jumpa, semakin bertambah ilmu yang dimiliki, semakin banyak pengalaman yang ditempuh, lagi hebat produknya, atau lagi tepat, orangnya. Jadi, jangan pernah rasa jemu dengan tarbiyah. Sebab tarbiyah ini akan membentuk peribadi insan Rabbani, orang yang berjiwa hamba dan rasa hidupnya berTuhan. Hidup insan Rabbani ini hebat , kerana semuanya adalah kerana Allah. Segala yang dibuatnya, adalah kerana dia mahu menggapai cinta Allah. Jadi, bila kita jemu dengan tarbiyah, ertinya, hati dan jiwa kita ini ada masalah. Bila hati dan jiwa kita bermasalah, kita kena rawat. Nak merawat hati, itu juga tarbiyah, “ jelas Kak Husna.
“ So, tarbiyah ini bukan sekadar teori, tapi, proses praktikal juga, kan? “ kata Farhana.

“ Ya. Senang cakap, hanya orang yang pernah merasa gula, akan tahu manisnya gula. Cuba kita tanya orang yang tak pernah rasa gula, dia tahu tak manis tu macam mana? Terangkan sejuta kali pun, belum tentu dia faham, macam mana rasa manis tu. Dia akan tahu bila dia rasa gula itu sendiri, “ Kak Husna memberikan analogi.
“Oh.. patutlah, Kak Ayu pernah cakap, tarbiyah itu indah apabila dilalui bukan diketahui, “ ujarku.
Kak Husna mengangguk. Kami berlima tersenyum, puas. Meskipun QC kami kali ini agak formal dan tidak seceria selalu, tetapi, inputnya tetap mantap. Sedikit sebanyak, aku mula memahami, kenapa ayah berkeras mahu menyekolahkan aku di sini. Tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana tarbiyah.

***


“Zul, ana rasa enti ini ada secret admire la..”

bersambung...

Rindu 4#


“ Kak Ayu, apa sebenarnya tarbiyah? “

Kak Ayu tersenyum manis. Belum sempat dia membuka mulut untuk menjawab, tiba-tiba, seseorang datang mengahampiri kami.

“ Assalamualaikum, Kak Ayu. Maaf mengganggu. Ustaz Zahazan mahu berjumpa dengan enti , Sumayyah dan Zinnirah, sekarang. Dia ada di bilik mesyuarat Yusuf alQardhawi . Katanya, penting. “

“ Oh. Terima kasih, ya. Maaf menyusahkan enti mencari ana sampai ke sini, “ ujar Kak Ayu kepada pengirim berita itu.
“ Tak susahkan, pun. Okey, minta diri dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.” Pengirim berita itu berlalu pergi.
Kak Ayu mengembalikan perhatiannya kepadaku.
“ Zul, ana minta maaf sangat-sangat. Kita sambung sembang nanti , boleh? Waktu makan malam ke? Boleh?”
“ Okey, kita sambung waktu makan malam nanti. Janji, tau!” ujarku, tersengih. Namun, terselit sedikit kecewa di sudut hati.
“ Insya-Allah, janji. Hmm.. Cuma, ingat satu perkara, tarbiyah itu indah apabila dilalui bukan diketahui. Okey, pergi dulu. Assalamualaikum.”
“ Waalaikummussalam..”

Kak Ayu berlalu pergi. Aku merebahkan badan ke katil.

“Kerana tarbiyah, seseorang boleh jadi zero to hero . Tarbiyah itu indah apabila dilalui bukan diketahui.”

Ayat-ayat itu seakan berdesing di telinga. Apa maknanya? Tarbiyah itu indah apabila dilalui? Melalui tarbiyah? Macam mana nak melalui tarbiyah? Zero to hero? Bertalu-talu soalan menjengah minda. Tak kusangka, perlahan-lahan, mataku terpejam. Aku terlena.

***
Tuk,tuk,tuk. Bunyi pintu diketuk.

“ Masuk.”

Ayu , Sumayyah dan Zinnirah melangkah masuk, menuju meja Ustaz Zahazan. Kelihatan Husna dan Hana’ sudah berada di situ. Turut bersamanya beberapa pelajar banin yang merupakan ahli majlis mesyuarat perwakilan pelajar(MPP) .

“ Assalamualaikum, ustaz. Ustaz panggil kami, ya? “
“ Waalaikummussalam. Ya, ustaz panggil antum. Hm.. sebenarnya, Ustaz nak bincang sedikit, berkenaan program Upgrade Your Iman yang akan berlangsung tak lama lagi.”
“ Oh.. kempen itu.. Ya, ada apa-apa yang boleh kami bantu, Ustaz? “ soal Hana’, yang merupakan timbalan presiden BADAR sekolah.
“ Ya, cadangnya, kita nak aktifkan blog, Facebook,website,Twitter atau mana-mana wasilah alam maya. Fokus kita menjurus kepada biah solehah. Pendek kata, kita mahu mengislah wadah-wadah siber ini agar lebih soleh dan musleh. Senang cakap, kita mahu menghidupkan suasana dan budaya Islam di alam maya,” jelas Ustaz Zahazan.
Semua yang hadir mengangguk-angguk.

“ Okey. Lagipun, biah itu rukun tarbiyah. Bila adanya murobbi,mutarobbi dan manhaj, dilengkapi pula dengan biah, insya-Allah, tarbiyah akan subur kembali di madrasah ini, “ ujar Umayr penuh berkaliber. Tidak hairanlah jika dia menyandang jawatan ketua pelajar di sekolah. Memang jawatan itu sesuai dengan peribadinya!
“ Itu, untuk alam maya. Kalau alam realiti pula, bagaimana?” aju Fateh, presiden KRSM  sekolah.
“ Rasanya, kita boleh adakan beberapa aktiviti. Contohnya, pertandingan poster. Poster tu diberi dalam bentuk softcopy, supaya kita boleh print banyak-banyak dan gantung keliling sekolah. Selain tu, boleh juga buat pertandingan video,reka lagu, ubah lirik lagu, pementasan, berlakon, nasyid..” Begitu bernas cadangan Mus’ab, presiden BADAR sekolah. Orang kata, pemikirannya ibarat komputer. Kemampuannya untuk merancang dan memikirkan idea baru menjadi antara asbab dia dikagumi ramai.

“ Hm.. Bagus idea tu.. Banat ada cadangan?” celah Ustaz Zahazan, sambil mencatat sesuatu di bukunya.
“ Apa kata, kalau kita buat TazLiM (Tazkirah Lima Minit) setiap kali sebelum solat? Kita juga boleh hidupkan suasana alQuran di sekolah. Contohnya, kita on lagu atau ayat alQuran sewaktu rehat,” Husna mengusulkan pandangannya.
“ Kita juga boleh buat pertandingan ala-ala Imam Muda dan Ustazah Pilihan. Cuma, kita buat berasingan, tak campur banin banat. Rasanya, fashion show juga perlu untuk kita dedahkan pemakaian yang sewajarnya. “ giliran Hana’ pula untuk menambah. Sememangnya, dia begitu bijak memanipulasikan sesuatu agar boleh dimanfaatkan.
“ Betul tu. Kita juga boleh adakan jualan buku dan produk Islam. Rasanya, kita boleh aktifkan juga tazkirah whiteboard di kelas-kelas. Dan, kempen sunnah dan amar makruf nahi mungkar pun kita boleh aktifkan,  “ ujar Sumayyah yang merupakan timbalan presiden KRSM sekolah.

“ Hm.. Bagus idea tu.. Zinnirah dapat catit semuanya?” soal Ustaz Zahazan.
Zinnirah, setiausaha MPP mengangguk.
“ Hm.. Rasanya, kita bincang sekadar itu dahulu. Dah nak azan Asar. Nanti, lepas Asar, kita detailkan apa yang patut. Boleh? Kita tangguhkan mesyuarat kita dengan tasbih kafarah dan surah al-‘Asr. Kemudian, semua boleh bersurai.”
Mesyuarat bersurai. Masing-masing mula membuka langkah, menuju musolla. Meskipun urusan mereka penting, tetapi, hubungan dengan Allah, jauh lebih utama! Bak kata Upin Ipin dalam filem Geng;
“ Solat utama,tiang agama!”

***

Dewan Hudaibiyah gamat dengan dengan dendangan nasyid yang diputarkan oleh DJ yang bertugas. Hiasan dan belon bewarna-warni menceriakan suasana. Di pentas utama, kelihatan banner besar tersergam indah. Padanya, tertera tulisan Karnival Upgrade Your Iman.

Ya, baru sebentar tadi, program tersebut dirasmikan. Usai tamat upacara perasmian, para pelajar diberi peluang selama satu jam untuk meninjau booth dan pameran yang disediakan oleh pihak penganjur. Turut diadakan jualan di kawasan luar dewan.

Aku dan rakan baikku, Qamarina, berjalan sambil meninjau-ninjau kawasan pameran.
“ Ah, ana cukup senang dengan program di sekolah ini, “ luah Qamarina.
Aku memandangnya pelik.
“ Kenapa? Biasa-biasa saja..”
“ Programnya menusuk ke hati. Senang cakap, program itu punya ruh yang tersendiri. Mungkin, kerana penganjurnya ikhlas melaksanakan program. Kerana itulah, kesan daripadanya berbekas. Hanya hati yang ikhlas mampu menyentuh hati, “ ujar Qamarina.

Aku hanya menadah telinga, malas untuk mengulas. Jauh di sudut hati, aku sebenarnya mengakui hakikat itu. Program di sekolah ini sedikit sebanyak memberi kesan dalam diriku. Jika dahulu, aku begitu janggal dengan budaya ‘ana-enti’ atau ‘ana-enta’. Apa bezanya ‘ana’ dengan ‘aku’ atau ‘saya’ ? Kedua-duanya merupakan kata ganti nama pertama. Tiada bezanya. Itulah pendirian aku suatu ketika dahulu. Namun, pendirian aku berubah apabila mendengar Kak Husna memberi tazkirah, tempoh hari.

“ Orang selalu pertikaikan, kenapa kena guna ‘ana-enti’. Jadi, sebelum ana mulakan, ana ingin tanya beberapa soalan. Yang pertama, siapa yang mengaku dia adalah rakyat Malaysia, angkat tangan.”

Hampir semua angkat tangan. Hanya beberapa orang yang tidak mengangkat tangan memandangkan mereka adalah pelajar luar negara. Itu pun boleh dibilang dengan jari. Kak Husna tersenyum.

“ Okey, terima kasih semua. Hm.. Sekarang, angkat tangan bagi sesiapa yang mengaku dia orang Melayu!”
Sekali lagi, hanya segelintir kecil yang tidak mengangkat tangan memandangkan mereka berbangsa Cina atau India. Senyuman Kak Husna melebar.
“ Okey, terima kasih. Sekarang, angkat tangan, siapa yang mengaku, dia adalah orang Islam! “
Akhirnya, semua yang hadir mengangkat tangan.

“ Okey, boleh turun tangan. Hm.. Nampak tak, sebenarnya, Islam yang menyatukan kita semua. Memang tak salah dan tak berdosa kalau kita guna ‘saya-awak’ atau ‘aku-kau’ atau ‘gue-lu'. Allah tak hukum. Tapi, kita nak hidupkan semula bahasa Arab yang merupakan syiar Islam. Secara tak langsung, kita akan izzah dengan Islam. Ana teringat filem Ip Man. Ada satu babak, Jeneral Jepun tanya kepadanya; ‘Siapa awak?’ Nak tahu Ip Man jawab apa? “

“ Dia jawab; ‘ I’m only a Chinese.’ “ seseorang mencelah.
“ Ya, dia jawab; ‘I’m only a Chinese.’ Kenapa dia tak jawab; ‘I’m Ip Man, a Chinese.’ ? Kenapa? Sebabnya, dia begitu izzah dengan Cina-nya. Malah, dia lebih bangga dengan bangsanya berbanding namanya sendiri! Kita? Cuba bayangkan, orang tanya kita; ‘Siapa awak?’ Kita pun jawab; ‘I’m a Muslim’. Tak bangga ke? Daripada jawapan kita sahaja, orang tu dah tahu, kita ini mempunyai jati diri Islam yang teguh, kukuh. Tidak kisah kita guna bahasa apa sekali pun, tetapi, orang tahu, kita izzah dengan Islam. Sebab Islam itu syumul, untuk seluruh manusia, tak mengira bangsa. Hm.. Jadi, bahasa Arab adalah syiar Islam. Jadi, bila guna ana-enti, secara tak langsung, kita dapat pupuk rasa izzah terhadap Islam. Kalau tak banyak, sikit pun jadi lah.. Sebab ana ana teringat satu ungkapan; Aqim Daulatal Islam fi Qalbika, Taqum fi Ardhika. Maksudnya,tegakkanlah agama di hatimu, nescaya tertegak di bumimu. Jadi, bila kita izzah dengan Islam, insya-Allah, kita Islam akan tertegak di muka bumi.. Jadi, kita semua nak Islam kembali memerintah dunia, ya tak? “

“Ya!” semua yang hadir menyahut, diiringi dengan laungan takbir penuh semangat.
“ Jadi, jom, kita sama-sama izzah dengan Islam. Bermula dengan guna ‘ana-enti’… “
Begitulah tazkirah Kak Husna. Ternyata, usai sesi tazkirah itu, ramai yang sudah mula menggunakan ‘ana-enti’. Malah, terasa senang mendengarnya. Aku? Hm… Belum tiba masanya lagi, barangkali.

“ Zul! Ha, menung apa tu! “
Aku kembali ke bumi nyata. Kelihatan Qamarina tercegat di tepat di hadapanku, sambil tangannya melambai-lambai.
“ Ish, apa ni.. Ana tak menung apa-apa lah..” ujarku, menepis tangannya.

“ Zul, enti sebut... Enti sebut.. “ Qamarina tersenyum.
“ Ana sebut apa? “ ajuku, hairan.
“ Enti sebut ‘ana’! Tahniah! Enti dah mula izzah dengan Islam. Islam dah mula tertegak di hati enti,” terang Qamarina, riang.
“ Eh, ye ke? Ana tak.. “
“Ha, enti sebut ‘ana’! “
“ A’ah lah.. Ana sebut ‘ana’! “

Aku seakan tidak percaya. Ya, kalimah ‘ana’ mula meniti di bibirku. Alhamdulillah.. Tetapi, mengapa? Barangkali, kerana sudah biasa mendengarnya. Ya, suasana sekitar banyak mempengaruhi.

“ Eh, jom lah , Zul.. Kita ke kelas. Lima minit lagi, kelas akan bermula.”
“ Okey, ana ikut enti. Jom! “
Kami berdua beriringan keluar dari dewan. Islam sudah mula tertegak di hatiku. Inikah tarbiyah? Aku berbicara sendiri.

Tanpa kusedari, ada sepasang mata mengikut setiap gerak-geriku.

“ Zulaiqa, tunggu ana...”
***
bersambung..

Rindu 3#


“ Kak Husna!”
Kami berpelukan.
“ Ish, Adik ni.. Dah naik form 4 pun tak berubah juga ya.. Masih macam dulu, manja!” ujar Husna, mencubit pipiku.
“ Aduh! Kak Husna pun masih macam dulu, suka cubit orang!” balasku, tersengih riang.
Husna turut tersenyum.
“ Ha, Adik duduk di dorm mana? Kelas? ”
“ Dorm Mahabbah. Kelas tak pasti lagi. Tapi, cadangnya, aliran Sains Tulen. ”
“ Oh, I see. Hm.. Dah dapat kawan, belum? Sejak tadi, sorang-sorang saja kat sini.”
“ Hm..”
“Hm apa?”
Belum sempat aku membuka mulut, tiba-tiba, Kak Husna dipanggil Ustazah. Husna meminta maaf. Katanya, ada hal penting. Dia kemudiannya tergesa-gesa pergi. Aku menjuihkan bibir. Huh, semua nak tinggalkan aku! Hatiku menjerit.

***

Pejam celik-pejam celik, sudah genap sebulan aku berada di sekolah kampung ini. Aku tak faham macam mana aku boleh tahan sekolah kat sini. Aku kini menuntut di kelas 4 Ibn Sina, satu-satunya kelas sains tulen di sekolah itu. Banyak perkara berkenaan sekolah ini sudah kukenal. Dengan erti kata lain, aku sudah punya certificate untuk menjadi tourist-guide dalam mengelilingi sekolah! Sebut sahaja, pasti aku boleh tunjukkan jalan!

Selain itu, aku juga sudah betah mendengar istilah Tarbiyyah. Apa itu? Entahlah, aku sendiri tidak memahaminya. Yang pasti, seluruh warga sekolah asyik mencanang-canangkan perkataan itu. Sana , Tarbiyyah. Sini, Tarbiyyah. Segalanya adalah Tarbiyyah! Aduh, pening kepala aku fikir. Apa yang aku tahu, aku tidak begitu berminat dengan program tarbiyyah ini. Bosan dan terlalu formal! Cubalah santai sikit. Okey, berhenti cakap pasal Tarbiyyah. Di sekolah ini, aktiviti yang paling aku suka ialah Quranic Circle (QC) , atau nama rasminya, Majlis Diskusi Pelajar. Ia diadakan setiap minggu, pagi Jumaat.  Aktiviti ini paling seronok! Ala, macam sesi borak-borak dengan kawan-kawan, dan ada seorang kakak atau guru yang teman. QC aku terdiri daripada lima orang pelajar. Qamarina,Farhana,Khalilah,Zakiah dan aku. Kami ni, satu geng tau! Tapi, aku paling akrab dengan Qamarina.

 Kakak yang lead QC ni namanya Kak Ayu. Aku tak pasti, apa nama sebenarnya. Orang kata, Kak Ayu ni garang macam singa. Tapi, dia ini cukup sporting dan caring! Cerita dia semuanya best-best. Kalau kami tengah sedih, mesti dia orang yang first datang pujuk. Tak hairanlah kalau kami sayang Kak Ayu.
Cuma satu yang aku tak faham tentang sekolah ini. QC ini dikatakan program Tarbiyyah. Tapi, aku tak rasa pun macam tu. Sebab QC ni best, santai. Tak macam Daurah,Nadwah tu semua. Satu lagi soalan yang asyik bermain di fikiran aku ini, camping pun program Tarbiyyah, kah? Aku pelik. Lagi satu, banyak sangat budaya pelik di sekolah ni. Salam lah, Ana-enti lah.. Apa-apa sahaja… Aku..

“ Zul!”
Aku tergamam lalu menyorokkan diariku di bawah bantal.

“ Oh, Kak Ayu. Buat terkejut orang saja. Zul ingat siapa tadi.Eh, duduklah sini.Dah lama tak bual dengan Kak Ayu. ”
Kak Ayu tersenyum, menghenyakkan punggung di sisiku.

“ Sorry lah kalau buat enti terkejut. Ana tak sengaja. Eh,dah lama tak bual? Macam pelik je ayat tu. Bukan pagi semalam kita sembang di kantin, ke? Ni mesti rindu ana, ya tak? “ ujar Kak Ayu, mengenyitkan mata kirinya.

 “ Atau Kak Ayu yang rindukan Zul?” ajuku, tersengih. Seronok berbual dengan Kak Ayu!
“ Memanglah ana rindu Zul. Adik ana , kot. “

Aku tersenyum mendengar butir bicara Kak Ayu. Sungguh, aku begitu senang dengannya! Bagi aku, Kak Ayu adalah satu-satunya insan yang aku percaya di sekolah ini. Kak Husna? Dia terlalu sibuk dengan urusan organisasinya. Pendek kata, apa jua berkenaan aku sama ada baik atau buruk, Kak Ayu tahu mengenainya. Namun, dia tetap menerima aku apa adanya. Katanya, hidup ini pelu sentiasa positif dan optimis!

“ Kak Ayu, Zul nak tanya sikit, boleh?”
“ Tanya je.. Insya-Allah, ana cuba jawab. “
“ Kenapa Kak Ayu memilih untuk bersekolah di sini, ek? “

Kak Ayu terdiam. Bibirnya tidak putus dari senyuman. Lesung pipit di pipi kanan memaniskan wajahnya. Cukup mendamaikan mata yang memandang.
“ Hm.. Sebelum ana jawab, ana nak tanya enti dulu. Kenapa enti memilih untuk bersekolah di sekolah ini,Zul? “
Ternyata, soalanku dijawab dengan soalan.

“ Zul tak nak sekolah kat sini. Ibu dan ayah paksa. Sebenarnya, Ayu dapat tawaran MRSM. Tapi, ayah sorokkan surat tu. Zul dapat tahu tentang surat tu sehari sebelum datang ke sekolah ni. Mula-mula, Zul memberontak jugak, tak nak datang sini. Tapi, ayah kata, ayah tak akan biaya persekolahan jika Zul nak ke MRSM. Jadi, mahu tak mahu, Zul datang jugak sini.  Zul tak faham, kenapa ayah nak sangat Zul sekolah kat sini! Kiranya, Zul ni anti-sekolah.. “

Entah mengapa, begitu mudah lidah ini meluncurkan kata. Kak Ayu masih tersenyum.
“ Kisah kita berdua hampir sama.”

Aku tersentak.
“ Eh, tapi, Zul tengok Kak Ayu okey sahaja. Siap jadi Qiyadah lagi...”
“ Zul.. Ni cerita antara kita saja ya..  Kalau nak tahu, ana lebih dahsyat dari Zul. Ana pernah couple, tinggalkan solat, berlakon puasa sewaktu Ramadhan, free hair..” ujar Kak Ayu, sayu.

Ana sedikit terkejut. Mana mungkin seorang yang begitu tegas menjaga maruahnya, cantik bertudung labuh, boleh buat sedemikian rupa. Benarkah ini Kak Ayu yang aku kenal?
“ Ana juga hampir-hampir tergelincir..”
“Maksudnya.. murtad?” terketar-ketar aku menyoal.
Kak Ayu mengangguk. Aku kaget.

“ Gara-gara ikut boyfriend. Ya, itu zaman Jahiliyah ana. Dahsyat, kan ana? Mujurlah Allah selamatkan ana dengan mencampakkan ana masuk ke sekolah ni.”
“ Ertinya, Kak Ayu jadi baik gara-gara masuk sekolah ni?” aju aku, semakin tertarik dengan ceritanya.
“ Tak,” Kak Ayu menggeleng.
“Habis tu? Apa yang buat Kak Ayu boleh berubah jadi baik?”
“ Zul..” panggil Kak Ayu lembut. Bahuku dirangkulnya.
“ Tarbiyah, Zul, tarbiyah. Kerana tarbiyah, ana mampu berubah. Kerana tarbiyah, ana lebih menikmati hidup ana. Kerana tarbiyah juga, ana boleh jadi zero to hero. “

Kerana tarbiyah, seseorang boleh jadi zero to hero. Ayat itu seakan berlegar di kotak fikiran. Ish, tarbiyah ini bukan sebarangan perkara rasanya. Ia bukan sekadar program atau ceramah nasihat , tapi lebih dari itu. Aku perlu selidik berkenaannya. Azam dibulatkan.

“ Kak Ayu, apa sebenarnya tarbiyah? “ .........


Monday, March 12, 2012

Rindu 2#


RINDU

                
3 Januari 2017.

Kereta Mercedes Benz berplat JJJ10 menderu laju,memasuki perkarangan sekolah. Aku mendengus, benci. Ah, sekolah kuno! Desis hati.

“Okey, dah sampai!” laung ayah dari tempat pemandu. Riak wajahnya jelas menggambarkan keriangan. Begitu juga dengan adikku dan ibu. Hanya aku yang punya wajah sekeruh air longkang. Kenapa seih, ayah hantar Zul ke sini? Dahlah sekolah kampung! Keliling kebun kelapa sawit lah, kebun sayurlah. Seberang pulak ada kandang lembu. Ish, bangunan pun ala-ala 80-an gitu. Ibu pun satu, asyik setuju saja dengan ayah. Hish, ibu ni dah tak sayang aku, agaknya. Sampai hati ibu dan ayah nak sekolahkan Zul di sekolah ni. Dahlah yuran mahal, bangunan buruk! Ish, tak faham aku. Kot ye pun nak ajar anaknya ini berdikari, hantarlah ke sekolah high-class sikit. KISAS ke, SBP ke, STF ke, MRSM ke.. Ini tak, sekolah kampung jugak diaorang hantar aku. Haish…Ada ke patut budak cemerlang , 9A PMR tersangkut ke sini? Huh! Hatiku merungut.


“ Zulaiqa, kenapa duduk termangu lagi dalam kereta tu? Cepat, keluarkan barang. Takkan nak suruh Ibu yang keluarkan,kot?” ujar ayah.


“Hmm..”


Perlahan-lahan, aku keluar dari kereta, mendapatkan ibu yang sedang sibuk memunggah barang dari bonet kereta.


“Ha, Ibu dah siap keluarkan barang, baru nak keluar kereta. Kenapa ni?”


Aku membisu.


“ Mun, Abang nak ke pejabat sebentar. Sementara itu, awak bertiga mungkin boleh ke asrama. Hm.. Kalau tak silap, Zulaiqa dorm Mahabbah, katil nombor 004.”


“Baiklah,Abang.”


Aku memandang langkah Ayah dengan pandangan kosong. Barangkali kerana terluka dengan tindakan ayah menyorokkan surat tawaranku ke MRSM tempoh hari. Argh!!


“ Kenapa tercegat lagi kat situ. Jom tolong ibu bawa barang ke dorm Zul tu.” Ajakan ibu memecahkan lamunanku. Lantas, aku membuntuti ibu dan adik, Zaid. Langkahku melaju, selaju desir hati yang mendengus benci.


***


“ Hmm.. Enti cuba tengok senarai nama pelajar asrama tahun ni. Nampaknya, ramai pelajar baru yang tiada latar belakang agama. Aduhai, mesti macam-macam hal mereka buat. “


“Tenang, Ayu.”


“ Macam mana nak tenang? Enti tak ingat ke isu tahun lepas? Kes yang melibatkan Mu..”


“Shh.. Cukup. Itu kisah dahulu, tak perlu dikenang. Sekarang, lain. Mereka itu umpama logam. Logam yang perlu dibentuk, dikilatkan. Logam yang akhirnya boleh dimanfaatkan buat ummah.”


“Logam? “


“Ya, logam.”


Tuk.Tuk.Tuk. Perbualan dua sahabat itu mati dek ketukan pintu.


“ Assalamualaikum. Maaf mengganggu. Husna,Ayu, Ustazah Azida mahu berjumpa dengan antuma di bilik tetamu, sekarang..”


“Kenapa Puan Pengetua memanggil kami?” aju Husna, sopan.


“ Ustazah pun tak pasti. Rasanya ada hal penting yang perlu dibincangkan. “


“Terima kasih , Ustazah Sofea. Kami akan ke sana, sekarang,” ujar Ayu, tersenyum. 


“ Baiklah. Kalau begitu, Ustazah perlu beransur dulu. Ustazah mahu memantau kemasukan pelajar di asrama.”


Ayu dan Husna hanya mengangguk. Lantas, mereka bergegas ke bilik tetamu.


“ Hebatnya, Ustazah Sofea, kan? Begitu sabar melayan kerenah pelajar saban tahun. Ana teringin nak jadi orang yang sabar macam Ustazah. Kadang-kadang, ana anggap Ustazah macam ibu kandung sendiri, “ ujar Ayu.


“Betul tu. Dia sangat ikhlas dan bersungguh menjalankan tugas sebagai ketua warden aspuri. Sifat keibuannya itu mampu melembutkan banyak hati. Kasih dan sayangnya pula seolah tumpah dan merebak ke setiap jiwa di aspuri ini. “


“ Ala… Enti pun apa kurangnya. Siapa tak kenal Aisyah Husna binti Haritsah? Orang yang telah berjaya menghidupkan suasana ukhuwah fillah di madrasah kita ni.. Begitu berhikmah,persis Abu Bakar asSiddiq.  ”


“Ish, orang tu pun apa kurangnya? Rahayu Abdul Razak. Orang yang terkenal dengan tegasnya, tidak ubah seperti Umar alKhattab.”


Mereka berdua itu tertawa perlahan. Hanya tiga dekah, kemudian berhenti. Bukan apa, mereka bimbang andai hati mereka gelap. Ketawa menggelapkan hati, bukan begitu?


"Ish anti ni, ketawa saja. Dah cukup, banyak ketawa di dunia, banyak menangis di akhirat, " ujar Ayu.            


“ Betul tu. Allah ada berfirman dalam surah atTaubah, ayat 82 yang berbunyi;


Giliran Husna pula menambah. Sememangnya, dia begitu petah berhujah. Setiap katanya pasti diiringi ayat Al-Quran atau Hadis. Pendek kata, bicaranya pasti berisi! 



************


BILIK TETAMU. Itulah yang tertera di muka pintu. Pantas, Husna dan Ayu mengetuknya
dengan sopan. 

“Masuk! “

Kedengaran suara dari dalam bilik. Lalu, daun pintu ditolak sedikit, seiring dengan ucapan salam.

“Assalamualaikum, Ustazah.”

“ Waalaikummussalam. Ha, Husna, Rahayu! Ini, ada parents yang mahu berjumpa dengan antuma. Parents kepada pelajar baru, “ ujar Ustazah Azida sekaligus menerangkan sebab mereka dipanggil.

“Assalamualaikum, Tuan, Puan. Apa.. Hah! Uncle Amru , Auntie Munira? ”
Husna dan kedua-dua tetamu itu sedikit terkejut. Ayu dan Ustazah Azida terpinga-pinga.

“ Husna kenal mereka?” aju Ustazah Azida, hairan.

“ Ya, kenal. Mereka ibu dan ayah angkat Husna.”

“ Ibu dan ayah angkat? “

“ Ya. Mereka pernah menjaga Husna sewaktu darjah satu. Masa tu, Ummi dan Abi sedang belajar di luar negara. Waktu itu juga , sistem untuk ke luar negara itu agak sulit dan kompleks. Jadi, Husna tinggal bersama Uncle Amru dan Auntie Munira, “ terang Husna.

“ Sebab dah akrab, Husna memanggil kami ibu dan ayah,” tambah lelaki yang berkemeja biru tua, atau lebih dikenali dengan Uncle Amru. Wanita yang di sisinya hanya mengangguk.

“ Oh, begitu rupanya.”

“ Ha, kenapa Aunt Munira dan Uncle Amru nak jumpa kami? Hm.. Lagi satu, mana adik?”   aju Husna , menatap kedua wajah insan itu.

“Sebab adik lah, kami mahu berjumpa kamu berdua,“ kata Auntie Munira, dengan linangan air mata.

Husna dan Ayu semakin bingung. Linangan air mata itu sudah cukup mengkhabarkan sesuatu yang tidak kena. Pandangan mereka bersatu, seolah berbicara tanpa suara. Suasana menjadi hening seketika. Masing-masing membisu.

“ Adik kamu, Husna, adik kamu tidak seperti dahulu. Dia dah banyak berubah. Dia tidak lagi menutup aurat, tidak lagi menjaga solat. Dia selalu keluar malam. Auntie dan Uncle sudah tegur berkali-kali, namun tidak diendah. Adakalanya, kami ditengking semula, “ terang Uncle Amru, cuba untuk bertenang. Dijelingnya Auntie Munira yang sedang teresak-esak.
“ Maksud Uncle, Zulaiqa? ” Husna seakan tidak percaya.

 “ Ya. Sebab tu, kami hantar dia untuk bersekolah di sini. Minta tolong Husna tengok-tengok kan, dia. Entahlah.. Budak tu dah keras hatinya. Kami nasihat, dia buat pekak saja. Hah, Uncle pun tak faham. Dia bukan Zulaiqa yang dulu, yang taat pada agama. Hampir-hampir sahaja Uncle halau dia dari rumah. “

Husna terdiam seribu bahasa. Lidahnya seakan terkunci. Bingung mendengar kenyataan Uncle Amru. Apa sebenarnya yang terjadi? Mustahil Zulaiqa berubah begitu sahaja. Pasti ada punca, dan aku perlu siasat punca itu. Getus hatinya.

“ Insya-Allah. Kami cuba bantu sedaya upaya kami. Apapun, Uncle Amru dan Auntie Munira kena sentiasa doakan Zulaiqa. “

Ternyata, jawapan Husna membuatkan Uncle Amru dan Auntie Munira tersenyum.

“ Insya-Allah, kami mendoakan. “

“ Hm.. Rasanya, kalau tiada apa-apa lagi, kami mahu mengundur diri. Ada kerja yang perlu diuruskan. Terima kasih, Puan, Tuan. Oh, ya, terima kasih juga , Ustazah. Assalamualaikum,” ujar Ayu, sambil memandang Husna sekilas.

Husna hanya tersenyum lalu membuntuti Ayu, keluar dari bilik tetamu. Kemudiannya, mereka menapak pergi ke Bilik Lembaga Pelajar. Ada perkara yang perlu diuruskan. Segera.

***

Dewan Hudaibiyah begitu sesak dengan pelajar. Namun, suasananya begitu tenang, tidak huru-hara. Masing-masing tahu menghormati majlis. Barisan pengawas kelihatan segak berbaris di kiri dan kanan dewan, mengawasi pelajar. Sebentar sahaja lagi, Perhimpunan Rasmi Sekolah akan bermula.

Di satu sudut, aku terpinga-pinga sendirian. Pelajar spesies apakah ini? Kat sekolah aku dulu, masuk dewan tu macam masuk pasar. Huru-hara! Tapi, ini lain pula.. Pelik betul..Alien ke apa.

“ Assalamualaikum, Zulaiqa. ”

Lamunanku terhenti apabila mendengar namaku disebut. Aku menoleh. Alangkah riangnya hatiku, hanya Tuhan yang tahu!




bersambung....

Sunday, March 11, 2012

Rindu 1# : Sekadar Prolog.


RINDU

                

20 Mei 2020.

Pagi itu agak hening. Hanya kicauan burung yang berdendang riang, mengkhabarkan kepada seluruh alam bahawa sang mentari akan menampakkan wajahnya. Azan Subuh berkumandang di sana sini, menggegarkan dunia. Ia tidak mengerti istilah henti, terus bersambung dari satu latitud ke satu yang lain. Ia seolah menjadi nadi yang menggerakkan bumi agar terus berputar pada paksinya. Angin pagi berhembus. Dingin rasanya tatkala menampar pipi, sedingin butir salji nun di Kutub Utara.

Sungguh, suasana pagi itu amat mendamaikan jiwa. Sejak tadi, aku menjadi penonton setia saat terbitnya fajar pagi. Begitulah aku, terus menanti dengan penuh harapan. Harapan untuk kembali pulang. Ya, pulang.  Aku rindu untuk pulang ke..

 “ Jauh menung, Zul .”

Aku menoleh ke belakang, lantas mengoyak senyuman.

“ Ala… Macam biasa, Yana. Kau ni macam tak kenal aku saja, “ balasku kepada roommate yang seorang itu.

“Bukan tak kenal. Tapi, menung tu jauh sangat. Ha, sah ni rindu tunang kat Malaysia…”

“Hish, rindu tunang pulak! Dahlah orang belum berpunya, cuba fikir logik sikit. Kalau rindu kat family tu, okeylah jugak.. Lagipun, buat apa aku nak rindu kat Malaysia? Baru tiga hari stay kat Manchester, takkan nak rindu dah kot? Lainlah kalau dah tiga bulan ke…” ujarku, selamba.

“Okey, kau kata kau tak rindu family. Tapi, mata kau kata, kau rindukan Malaysia, isn’t it? Eyes never lie, you know. 

Aku terpempan. Memang diakui, Yana, atau nama sebenarnya Nur Liyana sangat cekap membaca ekspresi wajah seseorang. Sesuai dengan bidangnya, Psikology and Human Resources.  

“ Ya, aku rindukan Malaysia. Cuma, aku tak rindu family. Aku rindu..”

Yes?”

Kubiarkan kalam berlalu begitu sahaja. Biarlah Yana tertanya-tanya. Itu rahsia aku. Jika aku cerita kepadanya, Yana tidak akan faham. Kerana hakikatnya, aku dan dia jauh berbeza, bagai langit dan bumi. Kerana perbezaan itu jugalah, perasaan rindu itu bertandang. Ya, aku merindui Zul yang dahulu, atau lebih tepatnya, Zulaiqa.

..................................

bersambung..